Tuesday, July 2, 2013

Pengenalan


Muqaddimah

Islam adalah syari’at Allah terakhir yang diturunkan-Nya kepada penutup para nabi dan rasul-Nya, Muhammad bin Abdullah SAW. Ia merupakan satu-satunya agama (deen) atau cara hidup yang benar. Allah tidak menerima agama dari siapapun selainnya sebagaimana firman Allah SWT “Dan sesiapa Yang mencari Deen(cara hidup) selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak termasuk dari orang-orang yang rugi.” Ali Imran:85. Allah SWT telah menjadikannya sebagai agama yang mudah, tidak ada kesulitan dan kesusahan di dalamnya. Allah tidak mewajibkan dan tidak pula membebankan kepada para pemeluknya apa-apa yang mereka tidak sanggup melakukannya. Islam adalah agama yang dasarnya tauhid, syi’arnya kejujuran, praktiknya keadilan, tiangnya kebenaran, ruhnya kasih sayang dan persaudaraan. Ia merupakan deen yang agung yang mengarahkan manusia kepada seluruh hal yang bermanfa’at, serta melarang dari segala hal yang membahayakan bagi ummatnya untuk kehidupan mereka di dunia dan juga akhirat.

Dengannya Allah meluruskan ’aqidah dan akhlak, serta memperbaiki kehidupan dunia dan akhirat. Dengannya pula Allah menyatukan hati yang bercerai-berai, dan hawa nafsu yang berpecah-belah, dengan membebaskannya dari kegelapan kebatilan, dan mengarahkan serta menunjukinya kepada kebenaran dan jalan yang lurus. Islam adalah agama yang lurus, yang sangat bijaksana dan sempurna dalam segala berita dan hukum-hukumnya. Ia tidak memberitakan kecuali dengan jujur dan benar, dan tidak menghukum kecuali dengan yang baik dan adil, yaitu: ’aqidah yang benar, amalan yang tepat, akhlak yang utama dan etika yang mulia.

Pengertian Dan Ruang Lingkup Islam

Adapun berbagai-bagai agama yang ada di muka bumi ini memperoleh namanya masing-masing, adakalanya dari nama orang yang mengasaskannya, atau kepada umat tertentu yang menubuhkan dan mengembangkan agama tersebut. Agama Nasrani atau masihi misalnya mengambil namanya dari Al-Masih. Agama Buddha diambil daripada nama pembawanya, Gautama Buddha. Agama Zarathustra pula berasal dari nama pembawa panji-panjinya yang bernama Zarathustra. Demikian juga agama Yahudi yang terbit dari kabilah Yahuda, maka agama itupun dinamakan Yahudi.

Berlainan dengan Islam, ia tidak disandarkan kepada nama seseorang tertentu dan tidak kepada umat yang tertentu. Nama Islam itu menunjukkan sifat-sifat khusus yang terkandung di dalam makna perkataan Islam itu sendiri. Daripada nama tersebut jelas bahawa ia tidak menunjukkan pembawa atau pengasasnya di kalangan manusia. Ia bukan khas bagi umat tertentu, tetapi ia adalah untuk seluruh bangsa. Ia mempunyai matlamat untuk menghiasi seluruh penduduk bumi dengan sifat Islam. Siapa sahaja yang bersifat dengan sifat ini, baik manusia di zaman lampau atau manusia di masa ini, ia adalah muslim. Demikian juga orang yang berpegang dengannya di masa yang akan datang adalah seorang muslim.

Perkataan Islam dari sudut bahasa berasal daripada perkataan bahasa Arab ’salima’ bermaksud selamat dan sentosa atau kedamaian. Ia juga merujuk kepada perkataan ‘aslama’ yang bermaksud menyerah diri, tunduk, patuh dan taat.

Pengertian Islam dijelaskan oleh Allah di dalam firmanNya: ”Dan siapakah yang lebih baik deen (agama)nya dari orang yang menyerahkan (aslama) wajahnya (dirinya) kepada Allah, sedangkan dia berbuat ihsan (baik) dan mengikuti deen Ibrahim dengan hanya cenderung kepada Allah” (an-Nisa’: 125)

Berpandukan kepada ayat ini maka Islam dapat diberi pengertian sebagai: ”Penyerahan diri kepada Allah dengan penuh keikhlasan hati”. Bahkan inilah intipati dari keseluruhan makna Islam.

Islam dengan pengertian induk ini tidak hanya dikhususkan kepada manusia tetapi juga merangkumi segala kejadian di alam semesta seperti yang dijelaskan oleh al-Quran; “Apakah selain dari deen (cara hidup) Allah yang mereka masih cari sedangkan segala yang di langit dan di bumi telah Aslama (menyerah diri) kepadaNya dengan kerelaan hati dan terpaksa. Dan kepadaNya mereka dikembalikan” (Ali-Imran: 83)

Berdasarkan ayat di atas maka dapatlah disimpulkan bahawa pengertian Islam itu tersimpul pula dalam penyerahan diri kepada Allah. Penyerahan yang setepat-tepatnya di antara hubungan manusia dengan Penciptanya ialah sujud kepada Allah dengan penuh kepatuhan dan ketundukan.

Oleh itu jelas sekali di antara ketiga-tiganya; ad-Deen. Islam dan sujud mempunyai kaitan dan jalinan makna yang erat dan tabi’i.

Penyerahan diri ini tidak hanya terbatas kepada gerak laku anggota zahir sahaja tetapi juga
merangkumi amalan batin. Ini bererti penyerahan ini merangkumi jasmani dan rohani, aqal dan perasaan atau jiwa dan hati kepada Allah. Penyerahan ini tidak terbatas kepada sudut-sudut tertentu sahaja tetapi merangkumi segala ruang lingkup kehidupan manusia.

 

Keperluan Kepada Tarbiyyah

Islam bukan suatu Deen atau cara hidup yang wujud secara kebetulan tetapi adalah satu natijah (hasilan) dari satu Tarbiyyah (pendidikan). Hasil dari perancangan, perencanaan, pembentukan yang disusun dengan rapi dan berhati-hati melalui ransangan-ransangan dan bimbingan yang bertujuan untuk melahirkan manusia yang Islam dalam pemikirannya, aqidahnya, akhlaqnya dan jiwanya dalam segala perbuatan dan tindakannya.

Dengan demikian segala perbuatan dan tindakan yang berfungsi sebagai ibadah dan mendapat keredhaan Allah SWT ini adalah hasil dari pembentukan peribadi untuk menerima Deen Islam secara keseluruhannya.

Islam adalah peraturan hidup anugerahan Allah SWT dan Allah SWTlah yang bertanggungjawab ke atas kepentingan Islam bahkan pengawasannya juga berada dalam genggaman Allah SWT. Oleh demikian mereka yang mengambil Allah SWT sebagai Ilah dan Rabb tidak mempunyai jalan lain, mesti memikul amanah ini iaitu melahirkan Islam dalam bentuk praktik kehidupan manusia, meliputi apa yang berkaitan dengan kehidupan manusia samada pemikiran sehinggalah pentadbiran bumi Allah SWT mestilah berjalan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jika amanah ini tidak diambil, tentulah ia bermaksud kita memperkecilkan rahmat dan keredhaan Allah SWT, Pemilik alam ini.

Dengan demikian pada masa yang sama kita menolak Allah SWT sebagai Ilah (tuhan yang kita sembah dan patuhi). Kedudukan Allah SWT sebagai Ilah itu telahpun berpindah kepada yang lain berkemungkinan hawa nafsu atau bentuk yang lain, hasilan daripada pemikiran atau perasaan yang ada pada kita yang didorong oleh syaitan dengan bantuan dari kuncu-kuncunya.

Ramai orang yang berpuas hati dengan mengaku yang mereka telah menganuti Islam, tetapi suatu persoalan yang kita perlu fikirkan ialah apakah telah memadai pengakuan tersebut sahaja? Tentu sekali tidak, bila kita menganut Deen Islam adalah tidak cukup dengan pengakuan sahaja tanpa memenuhi tuntutan-tuntutannya.

Perbezaan Antara Islam Dan Bukan Islam

Oleh itu perbezaan yang paling utama antara Islam dan bukan Islam (kafir) ialah ilmu, penghayatan, penerimaan dan ketaatannya terhadap Islam sebagai cara hidup yang datang dari Allah SWT, bukan pada nama dan keturunan.

Kita adalah muslim atau seorang Islam apabila kita memahami Islam sebagai satu panduan kehidupan (manhajul hayah) yang datang dari Allah SWT lalu kita menghayati dan menerimanya tanpa sebarang keraguan serta bersedia untuk patuh dan taat kepada semua ajarannya tanpa mengambil sebahagian atau menolak sebahagian daripadanya.

Kita bukanlah seorang Islam (kafir) apabila kita tidak memahami atau tidak menerima Islam sebagai cara hidup kita atau kita hanya menerima sebahagiaan sahaja dari Islam dan menolak sebahagian yang lain.
Untuk memahami Islam secara keseluruhan mungkin mengambil masa namun kita perlu meyakini tidak ada pilihan lain bagi kita selain menerima sepenuhnya Islam sebagai cara hidup kita dan berusaha untuk memahami dan melaksanakan Islam secara keseluruhannya. Oleh itu menjadi satu kewajipan untuk kita merancang dan melalui proses didikan (tarbiyyah) secara berterusan dan teratur.

Hakikat ini merupakan satu yang janggal atau asing dalam masyarakat yang menerima Islam sebagai agama keturunan atau hak istimewa satu bangsa lalu merasa cukup dan berpada dengan apa yang diterimanya semasa kecil atau dalam tempoh masa tertentu. Sebaliknya usaha untuk memahami Islam perlu berjalan setiap masa dan tempat dalam tempoh hayat kita. Dalam erti kata lain proses tarbiyyah (didikan) perlu berjalan sehinggalah kita dijemput pulang mengadap Allah SWT (meninggal dunia).

Islam Itu Bukanlah Berbentuk Warisan.

Ramai yang memahami bahawa apabila ibubapa mereka telah Islam maka mereka pun dengan senang menyatakan bahawa mereka telah pun Islam walaupun tidak melaksanakan hak-haknya. Al-Quran itu bukanlah suatu warisan daripada Rasulullah SAW tetapi ianya merupakan kitab Allah SWT yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW untuk dijadikan panduan hidup ummat manusia.

Oleh itu memeluk Deen Islam bukanlah suatu hobi dan bukan juga sebagai suatu fesyen. Juga bukan memeluk Deen Islam itu sekadar menunjuk diri secara zahir sahaja, seperti Islam pada pakaiannya atau dengan hanya memperbanyakkan ibadah sunat sahaja.

Sesungguhnya apabila kita memeluk Islam, kita mestilah menganut dengan sepenuhnya iaitu dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup kita. Sebagai contoh seorang pembuat kuih, tentulah terdapat resipi, peraturan dan panduan yang tertentu untuk menghasilkan kuih itu. Begitu juga Islam juga mempunyai resipi, panduan atau penjelasan-penjelasan yang tertentu untuk menjadikan kita sebagai seorang muslim. Apa sahaja yang dilakukan samada pemikiran, perkataan, perbuatan dan tindakan kita mestilah mengikut cara dan ketentuan Islam.

Dalam ertikata lain, semua tingkah laku kita hendaklah tidak terkeluar dari Islam. Umpamanya cara kita berpakaian. Dalam Islam tidak terdapat sebarang fesyen tertentu, tetapi yang ditentukan ialah mesti menutup aurat.

Hati yang masih berpegang teguh dengan Islam sekarang ini masih banyak, tetapi terlalu sedikit orang yang mahu mengambil Islam sebagai suatu cara hidup (way of life). Bahkan cara hidup Islam itu manjadi dagang dan asing dikalngan umat Islam sendiri. Sehinggakan diumpamakan orang yang menganut dengan Islam kini seperti memegang bara api.

Daripada Anas RA berkata: Rasulullah SAW bersabda : "Akan datang kepada umatku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api" [Hadis Riwayat Tirmidzi]

Oleh yang demikian hendaklah kita berpegang teguh dengan Islam.

Perkara kedua ialah, kita mesti kita mesti menyesuaikan diri kita dengan Islam bukan sebaliknya. Adalah satu kesilapan bagi orang yang mengambil Islam untuk disesuaikan dengan diri atau kehendaknya. Lantaran itu mereka akan mengambil Islam sebagai tempelan-tempelan sahaja, tidak mengambil Islam sebagai suatu cara hidup yang syamil (menyeluruh) dan kamil (sempurna) serta mutawazin(seimbang). Perkara yang terpenting yang mesti kita fahami ialah Islam itu adalah sebagai Deen (cara hidup) yang lengkap lagi menyeluruh yang diturunkan dan ditentukan oleh Allah SWT. Kita mestilah menyesuaikan diri kita dengan kehendak Islam dalam semua urusan kehidupan kita. Sesungguhnya Islam itu mencakupi seluruh ruang lingkup aspek kehidupan manusia.
Hakikat Islam Perlu Dirasai Oleh Hati
Islam tidak akan diambil sebagai sistem atau cara hidup sehinggalah hati kita meyakini hanya Islam yang akan memuliakan dan membahagiakan kita di dunia dan di Akhirat. Hanya cara hidup Islam yang akan diterima oleh Allah SWT dan cara hidup lain adalah tertolak bahkan mengkufuri Allah SWT.

Hati yang begini akan mula merasa cemas dan risau apabila Islam tidak benar-benar difahami, dihayati dan dijadikan ukuran atau nilai utama dalam kehidupan hingga melahirkan sikap patuh dan taat kepada kehendak Allah SWT. Hatinya juga merasa cemas melihat masyarakat Islam juga tidak menghayati Islam sebagai manhaj atau panduan dalam menjalani kehidupan.

Hati yang cemas ini tidak tetap diam tanpa bertindak untuk menyelamatkan keadaan cemas yang menyelubungi kehidupan manusia ketika ini. Hati yang sedar dan insaf mula mencari hati-hati yang sehaluan dengannya melalui perhubungan hati semata-mata dan berkumpul membentuk suatu kehidupan yang diredhai Allah SWT. Hati-hati begini akan mengintai setiap peluang dan kesempatan untuk mengajak diri dan masyarakat disekitarnya kembali menghayati cara hidup Islam. Ia bukan sekadar soleh (baik) tetapi juga musleh (ingin membaiki orang lain).

Tindakan hati adalah rahsia masing-masing kita, tetapi Allah SWT mengetahui rahsia isi hati. Setiap yang kita lakukan dan perjuangkan untuk manusia kembali menghayati Islam sebagai cara hidup akan diganjari pahala dan kebaikan yang banyak, bahkan Allah SWT menjanjikan pertolongan dan bantuan daripadaNya.

Islam tidak akan lahir semula jika ia tidak berjalan mengikut jalannya yang asal yang telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW yang telah ditarbiyyah terus oleh Allah SWT. Kita mesti yakin dan faham bahawa jalan Islam adalah jalan Rabbani yang telah dirancang oleh pencipta Deen itu sendiri. Kita tidak berhak untuk membuat sebarang teguran dan komen terhadap bentuk dan cara (uslub)nya. Kita hanya mempunyai keupayaan untuk mematuhi dan mengikut jalan-jalan yang telah dianjurkan, iaitu mengambil Islam sebagai sistem hidup yang lengkap lagi sempurna dan dalam masa yang sama kita hendaklah mengenepikan sistem-sistem hidup yang lain secara keseluruhannya. Islam tidak mungkin mengisi tempat-tempat yang masih berisi kecuali tempat tersebut dikosongkan.

Penutup

Islam menuntut kita supaya menjadi Islam dalam 'aqidah, Islam dalam tarbiyyah, Islam dalam akhlaq, Islam dalam rumahtangga dan keluarga, Islam dimenangkan dalam diri dan setiap tindakan kita serta kita berkeyakinan penuh bahawa Islam mempunyai masa depan yang cemerlang iaitu masa depan kita hanya untuk Islam. Bukan untuk sistem hidup yang lain.

Apabila Islam diambil secara syumul (menyeluruh) maka segala kerosakan dan keruntuhan indivdu, keluarga atau masyarakat yang berlaku hari ini dapat diatasi. Bahkan segala masalah yang timbul hari adalah kerana keengkaran manusia kepada sistem hidup yang datangnya dari Allah SWT yang menjadikan manusia dan seluruh alam iaitu Allah SWT yang lebih dan Maha Mengetahu apa yang baik dan buruk bagi hamba dan alam ciptaanNya.

Oleh itu kita tidak ada pilihan lain selain tunduk dan menerima panduan dari Pemilik alam dan jiwa kita serta Allah SWT yang mengurus dan mentadbir alam dan kehidupan kita.

Bahkan mengambil Islam sebagai cara hidup adalah jalan untuk merealisasikan tujuan penciptaan kita dimuka bumi Allah SWT.

Kita berada di muka bumi ini bukan dengan kehendak kita sendiri; kita tidak pernah mengisi apa-apa borang dan membuat permohonan untuk lahir ke dunia. Kita tidak pernah berhak untuk menentukan tarikh lahir dan mati kita. Tetapi kita berada di dunia ini dengan kehendak Allah SWT dan kita akan terus melangkah dibumi Allah SWT hinggalah kita dijemput pulang mengadapNya. Oleh itu kita perlu dan seharusnya memahami bahawa Allah menghantar kita kedunia ini untuk beribadah kepadaNya dengan pengambil segala panduan dan arahan yang datang daripadaNya seperti yang didakwahkan oleh para Nabinya. Memahami panduan dan arahan yang datang dari Allah itulah yang akan menjadikan kehidupan kita diberkati dan diredhai.

Wallahu 'Alam.